Mendidik sebagai tugas para Nabi


Berkata Al-Faqih[1]:
Jika seseorang guru hendak memperoleh ganjaran pahala dan menjadikan tugasnya sepertimana amalan para Nabi, maka dia hendaklah memelihara 5 perkara ini:

1) Janganlah engkau menetapkan sebarang upah (yuran) dan tidak meminta-minta. Kalau ada sesiapa yang memberinya upah maka ambillah, tetapi jika dia tidak memberinya sebarang upah, maka janganlah engkau meminta-minta daripadanya. Tetapi, jika engkau menetapkan upah untuk mengajarnya huruf, menulis dan menjaga budak, maka ianya dibolehkan.

2) Hendaklah sentiasa dalam keadaan berwuduk kerana engkau perlu sentiasa memegang mashaf Al-Quran pada setiap ketika dan waktu.

3) Hendaklah engkau sentiasa memberi nasihat dan memberi perintah secara baik ketika mengajar.

4) Hendaklah engkau bersikap adil kepada setiap murid apabila berlaku pergaduhan dan mendamaikannya antara mereka, dan janganlah engkau lebih suka kepada murid yang kaya daripada murid yang miskin.

5) Janganlah engkau memukul murid dengan pukulan yang mencederakan dan membahayakan serta tidak melampaui batas kerana perbuatan engkau itu akan dipersoalankan pada hari kiamat kelak.

Dilaporkan daripada Habib bin Abi Thabit berkata:
Para guru dilahirkan dengan bintang para raja, mereka akan dipersoalkan sepertimana para raja dipersoalkan (pada hari kiamat kelak).

Dilaporkan daripada beberapa orang terdahulu berkata:
Anaknya telah datang kepadanya dalam keadaan menangis. Dia pun bertanya: Kenapa ni? Anaknya menjawab: Guru telah memukul saya. Dia berkata: Ikrimah telah menceritakan kepada aku daripada Ibnu Abbas berkata: Para guru yang jahat di sisi Allah ialah yang tiada belas kasihan terhadap anak yatim dan bersikap kasar terhadap anak orang miskin.

Dilaporkan daripada beberapa orang sahabat berkata:
Tiga golongan yang Allah tidak mahu melihat mereka pada hari kiamat: Guru Al-Quran yang membebankan anak yatim dengan upah (yuran) yang tidak mampu mereka membayarnya, orang yang mendampingi pemerintah yang bercakap mengikut hawa nafsunya dan orang yang meminta sedekah padahal dia tidak layak meminta sedekah.

Berkata Ali bin Abi Talib RA:
Sesiapa sahaja yang menghafaz Al-Quran, maka dia berhak mendapat gaji tahunan dari Baitulmal sebanyak 200 dinar atau 2000 dirham. Jika dia tak mendapat apa-apa (gaji) di dunia ini, dia pasti akan dapat di hari akhirat kelak. Jika dia menghafaz separuh dari Al-Quran, maka dia patut dapat sebanyak 100 dinar atau 1000 dirham, dituntut daripada pentadbir Baitulmal pada hari kiamat, atau diambil daripada ganjaran pahalanya jika ada, jika tiada ganjaran pahala maka dosa orang (yang menghafaz) tadi dipindahkan kepada pentadbir itu.

[1] Al-Faqih: Merujuk kepada gelaran yang diberikan kepada Abu Laith Nasr bin Muhammad bin Ahmad bin Ibrahim As-Samarqandi Al-Hanafi (373H). Lihat: As-Samarqandi, Abu Laith (373H), Bustaanul Arifin, m/s 417, Beirut: Muassasah Al-Kutub At-Thaqafiyah (1997).

No comments: