LAUT Mati, nama yang disematkan pada tasik garam dengan garis terpanjang 67 kilometer (km) dan titik lebarnya 18 km memang mengerikan. Apa tidaknya, warga Arab menyebutnya sebagai Bahr al-Mayyit yang bermaksud Laut Mati.
Yang pasti, tiada ada satu pun makhluk boleh hidup di laut itu termasuk ikan. Ini kerana kadar garam di tasik yang terletak sekitar 420 meter di bawah permukaan laut - terendah di permukaan bumi- sangat tinggi.
Sejak beberapa tahun lalu, rangkaian hotel antarabangsa di Jordan mencatatkan senarai pelanggan yang hampir memenuhi kuota bilik mereka, kali pertama sejak pelaburan berbilion dolar dibuat sedekad yang lalu oleh pelabur yang berharap Timur Tengah akan mengecapi keamanan.
Jika dulu, suasana Beirut atau Kaherah meriah, kini ibu negeri Jordan, Amman semakin hampir untuk dinamakan sebagai pusat perniagaan dan juga pelancongan dengan terbinanya pusat hiburan yang menceriakan suasana malam.
Jalanan di bandar raya itu dipenuhi dengan kedai francais makanan AS dan juga pusat beli-belah.
Pusat peranginan Jordan memperoleh manfaat daripada keadaan yang tidak stabil di negara lain Timur Tengah.
Jordan turut menjadi pusat logistik perdagangan ke Iraq.
Peningkatan perdagangan di negara itu merubah 18,000 bilik hotel di Jordan menjadi pusat pertemuan golongan korporat, daripada syarikat bertaraf global, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga pertubuhan kebajikan Eropah dan Asia.
Pelancong barat juga kini semakin ramai ke Jordan selepas jumlah kedatangan mereka menurun akibat serangan Pusat Dagangan Dunia pada 11 September 2001 di AS.
Kira-kira 1.74 juta pelancong melancong ke Jordan pada 2003, meningkat 7.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bas-bas dapat dilihat membawa pelancong ke kawasan bersejarah era Roman berhampiran Amman. Kumpulan pelancong Sepanyol, Itali dan Jerman adalah antara yang kerap melancong di Jordan.
Warga Eropah dan Amerika kini semakin kerap mengunjungi Jordan selepas mereka sebelum ini takut untuk datang ke sini akibat krisis di Iraq dan Palestin.
Pelancong Teluk Arab yang mengenepikan Lubnan dan Mesir sebagai destinasi pelancongan mereka juga berubah angin ke Jordan, negara yang dianggap selamat daripada ancaman keganasan.
Statistik rasmi menunjukkan pelancong Arab meningkat 32 peratus kepada 466,592 pada 2004.
Peningkatan industri pelancongan ini turut menarik pelaburan asing bernilai RM6.46 bilion sejak beberapa tahun lalu. Pelabur tertarik dengan insentif pengecualian cukai yang disediakan Jordan untuk pelabur asing. Selain itu, projek mega juga kini sedang dibina di Aqaba, bandar yang bersempadan dengan Laut Merah.
Pakar turut menyatakan, Jordan yang dianggap antara pusat tarikan pelancong paling pesat di rantau Teluk juga akan memperoleh pulangan lumayan daripada segmen pelancongan keagamaan, kaji purba dan juga ekologi.
INFO: Amman
# Kira-kira 1.74 juta pelancong melancong ke Jordan pada 2003.
# Jordan turut memiliki 5,000 bilik hotel lima bintang.
# Menara berkembar Jordan setinggi 34 tingkat dibina Nuqul Group.
# Pusat beli belah di Amman yang popular di kalangan pelancong ialah Mecca Mall, Abdoun Mall, Amman Mall, City Mall dan Plaza Mall.
# Masjid Raja Abdullah I boleh memuatkan 3,000 orang
# 90 peratus penduduk Jordan beragama Islam manakala 5 peratus Kristian.
-petikan dari Berita Harian-
No comments:
Post a Comment